Monday, 21 February 2011

TGNA dan ZN dan Surah Abasa

Dari Utusan Malaysia :

Nik Aziz tolak saranan Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak saranan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) yang memintanya merujuk Surah Abasa berhubung kerjasama antara Islam dengan bukan Islam.
Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya menyifatkan Zulkifli sebagai seorang pengkhianat dan tidak layak memintanya berbuat demikian.
"Kalau saranan itu daripada orang lain, saya mungkin boleh terima tetapi bukan Zulkifli yang hanya pandai membuat kacau-bilau termasuklah kepada kawasannya. Dia juga khianat kepada saya.
"Oleh itu, dia bukanlah Yang Berhormat kerana mengikut pepatah Mesir, orang seperti Zulkifli itu mempunyai ulat dalam otaknya," katanya pada sidang akhbar di Rumah Sri Kelantan di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz mengulas saranan Zulkifli yang mahukan Menteri Besar Kelantan itu merujuk surah tersebut terlebih dahulu yang meminta supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain dalam kerjasama.
Nik Abdul Aziz berkata, saranan Zulkifli itu boleh menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap perjuangan Pas selama ini.
"Saya bimbang sokongan bukan Islam terhadap Pas akan merosot apatah lagi kami kini mempunyai kelab penyokong daripada mereka.
"Kenyataan sebenar saya adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana mereka merupakan bangsa terawal di Tanah Melayu yang menerima Islam," katanya.
Mengulas kemungkinan Pas akan mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau bulan depan, beliau berkata:
"Saya meminta orang Melayu sokong pembangkang kerana dalamnya ada Pas yang berjuang untuk Islam.
"Jika Pas hilang sokongan orang Melayu, ini adalah kerana UMNO yang menyalahgunakan demokrasi," katanya.
Menurutnya, pembangkang hanya berpeluang mengadakan kempen sewaktu pilihan raya sedangkan UMNO mendominasi media setiap hari dan tindakan itu tidak adil.
"UMNO salah dunia dan akhirat kerana mereka menyalahgunakan demokrasi dan tidak mustahil apa yang menimpa Mesir akan berlaku di Malaysia ekoran perbuatan UMNO ," katanya.

Saya bukanlah seorang ulama besar seperti TGNA cuma saya agak hairan
  1. Bukankah anjuran untuk kembali kepada al-Quran patut disahut tanpa mengira siapa yang menganjurkannya
  2. Bagaimana kalau seorang kafir suruh kita solat tentu sekali kita tak boleh cakap lu sendiri tak solat sebab memang apa yang dianjurkan memang perkara hak. Marah mungkin tapi hak tetap hak
  3. Saya harap Utusan tersalah lapor hal ini kerana TGNA banyak pengikutnya. Susah kalau bila ada yang menyeru ke yang hak, kena serasi parti dulu baru nak diakui yang hak itu hak

Foto palsu

Dengan adanya teknologi komputer yang serba canggih semua mungkin. Pengetahuan dan penguasaan ilmu adalah merupakan satu kuasa. Seperti kata watak Ben Parker dalam Spider-Man "with power comes great responsibility". Tapi ada orang suka bermain atau bereksperimen dengan ilmu yang ada. Hasilnya ada yang melucukan seperti dibawah. Sungguh melucukan ...
Sudah pasti semua orang tahu foto diatas merupakan satu foto palsu. Apapun foto ini akan jadi satu bahan ketawa yang boleh mendatangkan masalah jika pembaca tak pandai menilai. Dan yang dibawah agak membahayakan kerana boleh mendatangkan fitnah (jelas pemalsu foto ini jauh lebih baik skilnya dari pemalsu gambar diatas jika mereka bukan pemalsu yang sama)
Tak wajar rasanya untuk memaparkan orang Islam lain sebagai beragama lain, walaupun kita tak sependirian dalam hal-hal politik. Hukum tuhan hendaklah didahulukan.

Perihal kecurian jet

Cakap pasal penipuan oleh Rafid Ahmed teringat pula Munir Redfa. Nama Rafid bunyi seakan-akan Redfa. Si Munir Redfa adalah merupakan seorang fighter pilot dalam tentera udara Iraq pada awal tahun 1960an. Apa yang penting sangat mengenai si Munir ni. Kalau nak tahu dialah yang telah membawa lari jet MiG-21 kepunyaan Iraq ke Israel pada tahun 1966. Bukan itu saja yang dia bawa lari , dia bawa lari juga seluruh keluarganya ke Israel - anak,bini, mak bapa, abang adik, semualah pendeknya. 
Mengapa MiG-21? Dalam tahun 60an MiG-21 merupakan antara jet yang paling canggih di dunia. Pihak Israel sebenarnya telah cuba mendapatkan MiG-21 sebelum ini tetapi gagal. Dalam cubaan pertama seorang Armenia kelahiran Mesir bernama Jean Thomas telah cuba merasuah seorang pilot Mesir sebanyak USD 1 juta untuk membawa lari MiG-21 ke Israel.  Jean Thomas gagal dan digantung pada Disember 1962. Cubaan kedua untuk merasuah seorang pilot Iraq juga gagal.
Berbalik kepada MiG-21 yang berjaya dilarikan,  Israel Air Force (IAF) telah menilai dan menerbangkan jet tersebut secara komprehensif dan kemudian menghantar ke Amerika. Pihak Amerika juga menjalankan penilaian komprehensif kepada keupayaan jet ini. Hasil penilaian tersebut pihat IAF dan USAF mendapat cara untuk mengatasi MiG-21 dari segi operasi dan aerodinamiknya. Dengan pengetahuan inilah IAF telah berjaya mengalahkan jet-jet MiG-21 kepunyaan Mesir dan Syria pada perang 6 hari (6-day war) dalam tahun 1967.
Mengapa Munir melakukannya ? Munir merupakan seorang Kristian dari Mosul. Sebagai seorang Kristian dia merasakan bahawa dia ditindas. Aneh kerana kalau dia ditindas sudah tentu dia tak akan terpilih untuk menyertai skuad elit tentera udara Iraq. Patut dia lihat saudara sebangsa kita di seberang tambak langsung tak ada peluang untuk jadi fighter pilot walaupun si menteri mentor tua sering melaungkan meritokrasi (sebenarnya meritokrasi yang macam mana ?).  Apapun si Munir dah pun mati pada 1998 akibat sakit jantung. Kerana dialah Saddam tidak membenarkan orang Kristian menjadi fighter pilot. Walaubagaimanapun perlu diingat soerang Air Vice Marshall (AVM = Major General) Iraq juga merupakan seorang Kristian. Beliau adalah George Sada. Sada bagaimanapun menjadi seorang defector kepada pihak Amerika dalam tahun 2003. Sepertimana Rafid Ahmed beliau juga melakukan pembohongan mengenai WMD. 
Di negara kita tak ada lagi kisah jet TUDM dibawa lari. Mungkin tak akan ada jika dilihat dari sudut jet Amerika seperti F22 dan F15 adalah yang terbaik didunia pada saat ini. Mungkin kalau kita ada F22...

WMD Itu Satu Penipuan Besar

Akhirnya dunia telah dapat mengesahkan bahawa propaganda Amerika yang Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) adalah satu penipuan. Ini berikutan pengakuan seorang imigran Iraq di Jerman Rafid Ahmed Alwan al-Janabi. Rafid juga dikenali sebagai curveball dikalangan masyarakat risikan di Amerika. Beliau adalah orang yang bertanggung-jawab menyatakan yang Saddam mempunyai WMD. Sebenarnya CIA telah lama mengesyaki bahawa Rafid adalah seorang penipu. Malangnya Bush memilih untuk meneruskan peperangan ke atas Iraq. 
Setelah lebih 100,000 nyawa terkorban di Iraq Rafid telah mengaku menipu mengenai WMD  di dalam suatu temuramah dengan akhbar Guardian pada bulan ini. Alasannya itu saja cara untuk memulihkan demokrasi di Iraq. Berbaloikah dengan 100,000 korban. Iraq lebih kacau sekarang berbanding zaman Saddam. Jika beliau benar-benar ikhlas mengapa tak pulang saja ke Iraq untuk membina kembali Iraq. Dengan pendedahan ini Amerika harus mengembalikan Iraq kepada rakyat Iraq dan bertanggung-jawab keatas segala kerosakan yang berlaku. Amerika juga mempunyai satu tugas besar untuk menjawab kepada rakyat Amerika atas kehilangan nyawa ayah2, ibu2, abang2, kakak2, adik2, dan anak2 mereka yang sia-sia di bumi Iraq.
Dengan apa yang berlaku tidak ada negara di dunia akan berasa selamat dari campur tangan Amerika.

Saturday, 19 February 2011

Jalan jalan cari makan

Kadang-kadang makan di Kuala Lumpur ni menyakitkan hati. Cuma kalau dah bekerja mahu tak mahu makan juga lah untuk mengalas perut terutama bagi pasangan suami isteri yang bekerja. Makanan makin mahal, kualiti makin turun. Waktu mula bekerja dulu, roti canai sekeping 30 sen, sekarang 80 sen yang paling murah. Kalau dulu roti canai kosong boleh dimakan tanpa kuah tapi masih terasa enaknya. Sekarang ni ada warung yang jual roti canai yang benar benar kosong. Kalau ikut rasa roti canai macam ni memang hanya tepung dan minyak kelapa saja mungkin. Dulu tepung diuli dengan planta  atau minyak sapi, garam, dan ada peniaga mencampur susu. Jadi terasa lemaknya taklah macam sesetengah roti canai sekarang.
Cakap pasal terasa lemak teringatlah pula hal  nasi lemak.  Bila kelapa naik harga saiz nasi lemak makin kecil atau harga naik. Tapi boleh kiralah warung nasi lemak yang masih terasa lemak santannya. Belum lagi di kira sambal bilis yang tak ada ikan bilis. Baru baru ni saya makan di kantin sebuah hospital. Beli nasi lemak bungkus. RM1.20 sebungkus. Apa ada di dalam ? Nasi yang tak terasa santannya. Tawar tak terasa  lemak pun, telur goreng sebesar duit 20 sen senipis duit 10 sen. Mungkin harga tu upah cari daun pisang kot . Apapun dari apa yang dapat dilihat gerai tersebut memang kurang pelanggannya. Memang bijak pelanggan di kantin tersebut, terkena saya  Nampaknya ada segelintir peniaga sekarang hanya nak kaya cepat.
Kalau makan nasi pula, rata-rata kita akan dapati ramuan utama adalah cili padi. Makan sup terasa pedas cili padi, tomyam juga begitu, hatta nasi goreng juga. Rasa cili padi tu dah menenggelamkan rasa yang sepatutnya. Peniaga terlalu berjimat kah atau orang tak pandai masak nak berniaga? Memang ada pelanggan yang tak kisah membayar jika sedap dan golongan yang begini  ramai, tapi ramai lagi yang tak mewah tapi masih perlu makan diluar atas sebab tertentu. Peniaga mestilah ingat bukan mereka aje yang nak buat duit pelanggan juga perlu menabung untuk masa depan. Dalam Islam, konsep meniaga ni tolong menolong. Pelanggan tolong peniaga mencari rezeki, peniaga tolong pelanggan penuhi keperluan. Ada peniaga kurang ajar yang bilang makan aje kat rumah kalau nak save. Memang betul kalau nak jimat makan aje dirumah, tapi kalau semua orang dah makan kat rumah siapa lagi nak datang ke warung. Kalau dah sampai camtu reputasi pun dah busuk.

Toll turun

Lewat petang semalam baru ada kesempatan baca utusan. Wah toll turun. Hmmm ini sudah bagus, tapi toll PLUS tak ada dalam senarai. Apapun ini berita baik bagi pengguna pengguna toll yang tersenarai. Moga-moga akan ada penurunan lagi.

Friday, 18 February 2011

Cukai oh cukai

Aku memang tak pernah puas hati bila tiba masa untuk bayar cukai. Siapa pun aku fikir tak akan happy dengan bab bayar cukai ni. Kos hidup makin naik, tapi cukai tetap tak menunjukkan yang gomen cukup perihatin pada rakyat marhain macam aku.
Bayar cukai jalan, tapi tol masih kena bayar. Tol pulak akan naik dari semasa ke semasa. Pengguna jalan raya bertambah ramai, secara logiknya tentulah kutipan juga bertambah dengan bertambahnya bilangan pengguna lebuh raya ni. Tapi tol operator ni memang pandai berdolak dalik dalam hal ini. Ada saja alasan, kos penyelenggaraan meningkatlah dan macam macam lagi. Hati lagi panas kalau ada jurutol yang budi bahasa kurang. Pak menteri yang berkenaan pulak sentiasa menyatakan kos ini tak akan membebankan. Sekali bayar memang lah tidak, tapi kalau saban hari guna pergi dan balik tentu saja membebankan. VIP yang naik kereta dengan konvoi polis trafik di depan tentu saja tak perlu berhenti bayar tol.
Agaknya macam mana perjanjian tol operator dengan kerajaan dulu, ada siapa siapa yang tahu. 
Itu bab tol, sekarang ni aku tengah isi borang cukai aku. Isi borang cukai ni pun boleh menaikkan darah. Siapa pernah isi tentu setuju. Jumlah pelepasan yang tak menasabah. Seorang anak pelepasannya RM1000 setahun, siapa ada anak kecil pun tahu, susu campur lampin pun lebih RM100 sebulan. Matematik budak darjah 3 pun tahu 12 bulan lebih seribu. Jangan lupa waktu beli lampin dan susu tu pun dah bayar cukai gomen 5%. Tak payahlah cakap pasal pelepasan isteri pulak. Bagaimana pula bab pelepasan yang lain. Kalay siapa yang ada orang tua yang sakit kronik, tentu saja mengharapkan pelepasan perubatan orang tua ni tidak dihadkan. Malas nak tulis lebih lanjut bab pelepasan income tax ni, sebab siapa bayar memang tahu apa yang dirungutkan di sini. Cuma ingin dianjurkan ke LHDN dan bapak perdana menteri yang berikut

  • naikkan pelepasan bagi anak anak kepada 2000 atau 3000 seorang. Kalau gomen berkira sangat buat lah satu pelepasan khas untuk anak-anak yang masih dalam peringkat umur menyusu dan pakai lampin.
  • usah adakan had 5000 untuk medical, kerana memang untuk sakit kritikal (diabetes, dialysis, jantung, kanser, atau sebarang sakit yang memerlukan ubat dan peralatan sokongan yang khusus) jumlah ni memang tak cukup. Duit yang dibelanjakan pun memang digunakan untuk membantu sektor perubatan tempatan yang mana akhirnya tetap dicukai kerajaan.